JOHOR BAHRU (31 October 2020): Masyarakat yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) tidak terlepas daripada diberikan tumpuan utama oleh kerajaan negeri agar nasib mereka terus terbela.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya selama kini mengambil pelbagai inisiatif lain untuk memperkasa golongan OKU dengan melibatkan mereka dalam pelbagai program berbentuk umum.

Malah katanya, setiap bantuan dan peruntukan dikeluarkan adalah berdasarkan keperluan semasa dan tidak bersikap memilih.

“Ketika ini masih terdapat stigma khususnya dalam golongan OKU, dan stigma berkenaan boleh diubah melalui beberapa kaedah melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Kaedah tersebut adalah ‘inclusivity’. Ini boleh dibuat melalui aktiviti pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Kesedaran Down Sindrom Sedunia 2020 di sini hari ini.

Dalam program berkenaan, Hasni turut memaklumkan pemberian geran ‘one-off’ berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Sindrom Down Negeri Johor bagi kegunaan persatuan berkenaan dalam menganjurkan aktiviti mereka.

Tambah Hasni, usaha melibatkan golongan OKU dalam masyarakat umum perlu terus diperkukuh agar mereka tidak disisihkan masyarakat normal, sebaliknya menerima layanan sama rata. -UTUSAN ONLINE

Pautan asal:

Johor tidak lupa kebajikan terhadap golongan OKU – Utusan Digital

0 16