Iskandar Puteri: Hasil bimbingan dan tunjuk ajar, sekumpulan remaja sindrom Down mampu menuai 600 kilogram (kg) cendawan kelabu dalam tempoh setiap tiga bulan bagi menampung keperluan pasaran tempatan.

Pengurus Projek Persatuan Sindrom Down Negeri Johor (PSDNJ), Mohd Fizal Osman berkata, kumpulan remaja terbabit berjaya menguasai kemahiran keusahawanan tanaman cendawan di Career Centre For Down Syndrome (CCENDS) di Taman Bukit Indah di sini.

Menurutnya, menerusi latihan yang ditawarkan itu, peserta didedahkan dengan ilmu penjagaan bongkah cendawan tiram dari peringkat awal sehingga memasarkannya.

Katanya, penyertaan dalam aktiviti berkenaan mampu meningkatkan kemahiran menjaga tanaman cendawan, mengira, menimbang dan membungkus dalam kalangan peserta.

Menurutnya, program itu dimulakan pada September 2020 selepas persatuan itu memperoleh dana daripada Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) di bawah program Dana Pemberdayaan Belia Iskandar Malaysia (IMPower).

“Kami bermula dengan 1,500 bongkah cendawan dan kini ditambah kepada 3,000 unit yang menyaksikan hasil dituai mencecah 600 kilogram dalam tempoh tiga bulan.

“Setiap kilogram dijual pada harga RM16 dan kebiasaannya permintaan melebihi penawaran,” katanya.

Mohd Fizal berkata, projek berkenaan bukan semata-mata mahu menjana keuntungan sebaliknya untuk memberi manfaat kepada kanak-kanak sindrom Down ini dari aspek kemahiran bertani dan juga berniaga selain membantu kelangsungan hidup mereka.

Menurutnya, pembabitan mereka juga memberi peluang kepada menambahkan pendapatan persatuan untuk menjayakan pelbagai aktiviti membabitkan golongan sindrom Down.

Katanya, daripada segi penghayatan golongan itu, mereka menjadi lebih berdikari, mampu mengikut arahan serta bekerja dalam kumpulan selepas menerima bimbingan menerusi program berkenaan.

“Kebiasaannya rak itu dikendalikan seorang guru, bersama dengan seorang pengawas dan lima anak.

“Kami juga membantu menyediakan bongkah dan menunjukkan kepada guru dan anak-anak cara mengurus dan merawat cendawan.

“Kemudian kami akan memantau setiap langkah anak dalam menjaga botol dari segi mengawal suhu bilik, menuai, mengemas, melabel dan membersihkan rak,” katanya.

Mohd Fizal berkata, pihaknya merancang menyediakan hingga 10,000 bongkah dan membina rumah cendawan baru bagi menampung permintaan.

Menurutnya, pada masa kini 15 peserta mengikuti latihan ini dan kapasiti kami adalah 35 peserta.

Katanya, baru-baru ini pihaknya juga menerima dana sejumlah RM28,400 daripada Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) dan bercadang menggunakannya bagi menambah peralatan bagi mengembangkan perusahaan berkenaan.

“Kebiasaannya kami menerima tempahan dalam talian termasuk hasil perkongsian maklumat di media sosial.

“Kami bersyukur kerana produk dihasilkan kumpulan anak syurga ini semakin menerima sambutan dan diharap menerusi inisiatif dijalankan, golongan berkenaan juga mampu menjadi insan berjaya,” katanya.

Pautan asal: https://www.hmetro.com.my/utama/2021/05/706768/keringat-tani-15-anak-syurga

Disiarkan pada: Mei 17, 2021 @ 7:40am

0 3